Wednesday, 14 January 2015

8 LANGKAH MENJADI JUTAWAN (Bahagian 2)


8 Langkah Menjadi Jutawan…

oleh: Irfan Khairi


 

Langkah 5: Mulakan perniagaan
9/10 rezeki datangnya dari perniagaan. Mereka dari golongan terkaya di Malaysia dan dunia merupakan ahli perniagaan. Amat sukar dan mengambil masa yang lama untuk menjadi kaya sekiranya anda seorang pekerja- namun ianya masih tidak mustahil.
Cuba berjinak-jinak dengan perniagaan. Anda terikat dengan pekerjaan 9-5? Tidak mengapa, anda masih mempunyai masa 5-9! Jikalau anda tidak dapat memulakan perniagaan secara full time, mulakan perniagaan secara part time.
Terdapat berbagai-bagai peluang perniagaan di Malaysia. Namun perlu berhati-hati anda tidak terjerumus dengan perniagaan yang melibatkan penyelewengan serta skim-skim cepat kaya dan piramid.
Anda boleh memulakan pengalaman perniagaan anda dengan membuka gerai, franchais, menyertai perniagaan network, memulakan perniagaan dari rumah ataupun melalui perniagaan Internet- seperti saya! Jangan lupa langkah 3 iaitu pelajari ilmu perniagaan berkaitan dengan bidang anda.

Langkah 6: Perihal kewangan
Dalami perihal kewangan. Untuk berjaya dari segi kewangan, anda perlu dilengkapi dengan ilmu mengenai wang. Ketahui bahawa kekayaan bukan bererti berapa banyak wang anda perolehi sebulan- tetapi, berapa banyak wang anda dapat simpan sebulan. Seseorang yang berpendapatan RM10,000 tetapi berbelanja RM9,000 sebulan sudah tentu tidak sekaya seseorang yang bergaji RM3,000 tetapi berbelanja RM1,500 sebulan. Kekayaan bukanlah berapa banyak anda perolehi, tetapi berapa banyak anda boleh menyimpan.
Konsep penting dalam memahami perihal wang adalah konsep compound interest. Maksudnya, pelaburan wang anda yang menghasilkan faedah, kemudiannya keuntungan faedah serta wang pokok anda itu dilaburkan semula. Dengan menggunakan konsep compound interest, wang anda akan berganda dua kali dalam masa 7 tahun sekiranya faedah yang anda terima adalah 10%. Menurut Robert Kiyosaki, penulis buku Rich Dad, Poor Dad, selain dari memulakan perniagaan, cara mencapai kekayaan adalah melalui pelaburan.

Langkah 7: Lakukan apa yang anda suka
Anda boleh mencapai kekayaan tidak kira dalam apa bidang jua. Satu kesilapan besar yang sering terjadi adalah apabila kita memikirkan bahawa bidang yang kita dalami tidak boleh menjadikan kita kaya. Sering kita fikirkan, industri yang lain boleh memberi pulangan yang lebih tinggi. Dalam buku motivasi klasik Acres of Diomand, penulis mengatakan bahawa senario \”the grass is greener on the other side\” sering terjadi pada setiap insan. Ini bererti, anda akan sering merasakan industri lain lebih membawa keuntungan dari industri anda. Bidang yang lain lebih memberi kekayaan.
Pada hakikatnya, kekayaan dan kejayaan boleh dicapai tidak kira apa bidang pun. Lakukan sedikit tinjauan- anda pasti akan bertemu kisah mereka yang berjaya dan mencapai kekayaan dalam bidang anda juga!

Langkah 8: Mereka yang berjaya adalah mereka yang sering gagal
Sejarah sering menceritakan kejayaan seseorang sering kalinya dikait dengan kegagalan di masa yang lampau. Ini adalah sememangnya benar oleh kerana mereka yang berjaya pasti mempunyai cerita kegagalan yang boleh dikongsikan.
Perbezaan mereka yang berjaya dan mereka yang tidak, adalah, mereka yang berjaya akan mengambil kegagalan sebagai iktibar. Tidak kira berapa kali kegagalan mengundang, mereka tidak akan berputus asa. Pencipta lampu mentol, Thomas Edison hanya mencapai kejayaan selepas seribu kali mencuba. Apabila ditanya, bagaimana beliau masih boleh berusaha walaupun gagal begitu banyak kali, jawapannya adalah, dia tidak menganggap dirinya gagal. Dia menganggap beliau menjumpai 999 cara yang salah dalam mencipta lampu mentol!

No comments:

Post a Comment